Memerhati Profesionalisme Guru Secara Kasar

14/08/2010 02:20

Dalam sektor perkhidmatan awam, guru merupakan kelompok terbesar dengan jumlah seramai 40 peratus. Hal ini menunjukkan bahawa guru membawa peranan yang cukup besar dan mempunyai pengaruh yang sangat dominan dalam mencorak negara. Namun begitu, sejauh manakah profesionalisme guru diakui? Sejauh manakah tahap integriti, disiplin, semangat kelompok guru di Malaysia? Adakah kita sudah melangkau sejauh China dan United Kingdom, atau kita mungkin lagi baru melangkah sejauh kelas darjah enam dari bilik guru?

 

"Profesion guru merupakan prosfesion yang paling diragui dan tidak dipercayai...", seorang rakan yang bukan guru pernah berkata. Alasannya ialah guru sentiasa dipantau dan diperhatikan kerjanya oleh Nazir, PPD dan JPN berbanding sektor pekerjaan lain. Namun, tentulah, pemantauan yang ketat ini disebabkan peri pentingnya sektor pendidikan yang menjadi medium penting dalam menentukan masa hadapan negara dan pemerhatian oleh pihak atas menjadi bukti kesungguhan kerajaan dalam memelihara profesion keguruan ini.

 

Benar, terdapat guru yang berlaku sumbang kepada pelajar, culas, tidak berdisiplin, ponteng kerja dan seribu satu lagi label-label 'gah' yang diberikan masyarakat dalam media kepada guru. Namun, jumlah ini teramatlah sedikit dan kelompok kecil ini tidak bolehlah diambil untuk mewakili satu kelompok guru yang jauh lebih besar. Apabila timbulnya ketidakpercayaan masyarakat sekitar akan kredibiliti seorang guru lantas melemparkan pelbagai tuduhan sesat kepada seseorang guru itu, hal ini akan memberi kesan negatif yang sangat besar kepada negara.

 

Keadaan seperti ini melemahkan motivasi guru dalam mendidik pelajar. Manakan tidak, apabila kawalan, sekatan dan tuduhan yang terpaksa dihadapi, guru akan berasa lemah dan tertekan dari segi mental dan emosi sekali gus menjejaskan pengajaran mereka. keadaan ini serupa sahaja seperti anak kecil yang sedang membesar. Andainya anak tersebut dimarahi kerana pernah melakukan kesilapan (atau tidak pernah, tetapi disuruh melihat kepada kesilapan yang penah dilakukan rakan sebaya) kemudian dikawal seketatnya. Anak ini tidak dibenarkan keluar rumah bermain bola di padang kerana dikhuatiri akan bergaduh, sekalipun dibenarkan bermain, anak ini akan dikawal seketatnya, tidak dibenarkan untuk ketawa dan bergembira selain hanya berbuat kerja serta pelbagai lagi. Kawalan terhadap anak itu menjadikan dia membesar sebagai manusia yang tidak berkeyakinan meskipun mempunyai potensi diri yang sangat besar, tidak mahu mengambil risiko dan hanya menjadi manusia robot yang sterotaip akibat daripada kawalan dan ketidakpercayaan melampau ini. Tetapi, tentulah, keadaan ini tidak berlaku di Malaysia.

 

Koreksi sistem masa kini. Sejauh manakah pendidikan di negara kita menaggapi guru sebagai 'agen' perubahan? Sejauh manakah?