Memilih Bahan Bacaan

21/08/2010 13:58

Isu Satu : Bahan bacaan apakah yang diperlukan untuk mula mendekati dunia pengucapan awam? Harus bermula di mana?

Jawapan: (Klise) Mulakan sahaja di mana-mana. Bagi yang tidak suka membaca, mulakan pembacaan anda dengan topik yang anda sukai. Masalah ini lebih banyak dihadapi oleh lelaki mengikut pengalaman saya. Saya sarankan mulakan dengan bidang sukan jika anda suka.

Tetapi, satu trend di sekolah saya, pelajar lelaki dilihat mempunyai kecenderungan membaca yang lebih berkualiti berbanding pelajar perempuan. Jikalau perempuan lebih suka dengan bahan bacaan yang sedikit sampah dan terlampau klise seperti jawapan ini, ambil novel romantika, ih pelajar lelaki di sekolah saya bergaul mesra dengan novel tokoh islami terbilang, buku-buku tentang hukum Islam, surat khabar, sukan, politik juga dan gejolak fatwa agama mutakhir di seluruh dunia. Kualiti tazkirah yang semakin baik meski sedikit kontroversi kadangkala (wassatiyahlah, adik-adikku), menjadikan saya sedikit lega.

Oh, terlupa. Setiap yang dilakukan perlu berstrategi. Kenali corak pembacaan diri sendiri dan atur langkah yang sesuai.

1. Mesrai budaya membaca (tidak termasuk gosip, dan perkara sampah. Perlu buat huraiankah?)

2. Mulakan dengan memahami isu semasa tanah air.

Opss, pastikan anda membaca secara seimbang. Pro dan kontra (maksudnya err...baca sahaja semua jenis akhbar). Jangan percaya apa yang anda baca. Buatlah analisis, kajian sebetulnya mengenai sesuatu isu yang berlaku. Ingat, percanggahan dan perbalahan idea perlu ada.

Bahan bacaan yang disarankan ialah surat khabar arus perdana, Utusan Malaysia, Berita Harian, Star, NST, Sinar, Harakah, Suara Keadilan dan sebagainya.

Ingat! Keseimbangan pembacaan membuktikan anda bukan pembaca yang cepat percaya. Namun, cara ini akan menjadikan anda lebih rasional, melihat sesuatu dari capahan pelbagai perspektif dan anda akan menjadi manusia yang tidak dengan sewenangnya, mengikut telunjuk sesiapa yang teringin memperbodohkan kita.

3. Bahan bacaan tetap

Adakan bahan pembacaan yang tetap. Majalah Dewan Masyarakat, Dewan Ekonomi, Dewan Kosmik merupakan antara majalah yang saya sarankan. Cari juga majalah-majalah yang lain.Khatamkan dari kulit ke kulit. Jika tiada masa, cari isu yang hangat.

Dalam keadaan masyarakat yang skeptis agama hari ini, saya sangat-sangat menyarankan agar anda membaca majalah SOLUSI terbitan Telaga Biru. Bagi Muslim, membacanya dapat memperkaya ilmu agama. Bagi bukan Muslim, belajarlah cara penulisan penulis-penulisnya yang menulis berdasarkan dalil yang pelbagai, huraian yang mudah serta pandangan yang tidak melampau. Penyelesaian masalah yang diberikan melihat kepada skop kehidupan hari ini. Realis, sering saya simpulkan begitu.

Oh ya, teman sekelas saya mempunyai minat yang pelbagai. Seorang teman belajar membuat pelancar roket sendiri yang setinggi semeter (pergi patenkan, Din!) melalui pembacaan yang luas dalam bidang Fizik dan Ketenteraan. Dua yang lain yang seringkali ditempah ke kenduri-kenduri kahwin untuk hal fotografi, tidak meninggalkan majalah-majalah fotografi saban bulan.

Begitulah kita meluaskan potensi dan kehendak diri serta mencandui budaya membaca, apabila kita kenal siapa kita sebenarnya.

Membaca terdiri daripada banyak jalan. Pilihlah satu, dua jalan yang dekat dengan diri, kemudian ambil tahu jugalah tentang jalan-jalan yang lain..TS

4. Bacalah apa sahaja

Iya, bacalah apa sahaja. Buku ialah sebuah alam yang indah- perlu dimesrai, diperhalusi. Tanamkan dalam diri bahawa daripada membeli top-up untuk bersms dengan siapa-siapa, baik lagi membeli buku!

Adik, seperti kata Allah, Bacalah!



Soalan Dua: Penulisan. Apakah ada tips penulisan?

Jawapan: Menulis? Menulis hanya akan terjadi apabila awak menghayati sesutau isu dengan baik. Jika menulis puisi atau bentuk penulisan lain yang bersifat abstrak begitu, tentulah awak perlu banyak membaca karya-karya besar negara dan dunia untuk menghasilkan karya yang baik.

Mulakan dengan menulis blog misalnya. Kerja rumah bahasa Melayu yang cikgu beri di sekolah, siapkan sebaiknya dengan menggunakan sepenuhnya kapasiti berbahasa yang anda dapat daripada pembacaan yang pelbagai. jangan terperngkap dengan contoh karang atau esei dalam buku rujukan. Yakinlah, anda boleh buat lebih baik dari itu!


Isu Tiga: Tujuan

Adik-adik, betulkan tujuanmu. Katalah anda mahu menjadi pendebat yang baik, ingatlah, bahawa debat bukan semata-mata mewakili sekolah. Anda boleh jadi lebih baik dari pendebat sekolah.

Tetapi, yang lebih baik, pergilah cari guru yang berkaitan dan luahkan kemahuan terpendam anda. Tanyalah apa yang anda perlu lakukan. Katalah anda tidak cocok, tak salah untuk meneruskan perjuangan anda dalam lapangan ilmu.

Dahulu, saya sendiri menganggap debat ini semata sebagai satu lapangan perkongsian ilmu. Ada yang mengingatkan bahawa ilmu ini segalanya. Bukan ketika berdebat semata-mata.

Tujuannya untuk menepati kemahuan Allah. Bukankah dalam Al-Quran Allah menyuruh agar kita menuntut ilmu?

 

Sumber diambil di blog Tokoh NILAM Kebangsaan 2010